Tajuk : Kerana Pensil
Penulis : Afzalsukasuki
Syahir menggigit-gigit hujung pensilnya yang kementot.
Matanya meliar-liar memerhatikan ke kiri dan ke kanan, seolah-olah sedang
menunggu seseorang. Mukanya pasrah, sesekali dia mengeluh tatkala melihat nasib
motosikalnya yang tersadai di tepi pokok tidak jauh dari tempatnya berteduh.
Motosikal itu merupakan pemberian abahnya sejak dia mula bekerja dulu. Adalah
hampir 3 tahun usianya. Cuma petang itu 'kesihatan' motosikalnya itu kurang
memberangsangkan, mungkin merajuk kerana dapat tahu yang dia mahu membeli
kereta. Ala baru cadangan je pun.
Hujan sedari tadi tidak menunjukkan tanda seperti mahu
berhenti. Semakin lama, semakin rancak dia menggigit pensilnya itu, kantung
pundi kencingnya juga kian memberat seiring dengan perubahan suhu sekeliling.
Syahir mula menggigil kesejukan, harapan untuk dia mendapat demam selsema
semakin 'cerah'. Mula kepalanya ligat memikirkan alasan terbaik untuk mohon
cuti sakit sambil sesekali dia berlatih membuat mimik muka agar kelihatan lebih
lesu seperti orang sakit. Efek seperti itu amat diperlukan untuk memohon cuti
sakit, apatah lagi dia dikira berjaya menjiwai watak apabila diberi cuti sakit
lebih daripada sehari oleh doktor.
Sejurus selepas itu kelibat Azim, rakan serumahnya muncul
dengan motosikal kapcainya. Dari jauh, sumpah bunyinya macam motobot. Kalau tak
berpaling orang agak pastinya bunyi itu daripada motosikal berkuasa besar. Tapi
sekali bila dah muncul, jauh api dari panggang. Itu pun dengan halaju maksima setakat
70 kilometer sejam. Jangan cakap berjogging, setakat tenteng je pun dia mampu
atasi kelajuan motor si Azim tu. Tenteng siap baca surat khabar lagi. Itu kalau
bawa laju sikit lagi boleh luruh semua skru yang ada. Tapi apakan daya, hari
ini dia terpaksa mengalah. Mengakui yang motor kapcai Azim adalah penyelamat dunia.
Kalau tak, ada harapan untuk dia bermastautin di hentian bas tersebut malam
itu.
Azim menyelak visor helmetnya, tersengih-sengih menampakkan
giginya yang tidak rata mana. Tak boleh nak marah sangat si Azim ni. Di antara
semua rakan serumahnya, si Azimlah yang paling kuat merajuk. Bayangkan si Napi
suruh dia cepat mandi dengan sedikit tinggi nadanya, terus merajuk tak nak
mandi. Makan masa dua hari jugak la dia tak mandi. Nasib la ada gosok gigi. Itu
pun gigi bahagian atas. Jadi untuk mengelakkan Azim buat kerja gila, dibuatnya
baring bawah kerusi menunggu akibat dimarah.. Syahir nekad untuk simpankan dulu
amarahnya itu. Sekurang-kurangnya tunggu sampai di rumah dulu baru dia buat
keputusan. Mesti seronok dapat tengok Azim merajuk lagi. Comel apa lelaki
berbulu dada sejemput merajuk!
Syahir tinggalkan pensil kontotnya di atas bangku menunggu.
Tatkala dia bangun untuk menghampiri Azim, ketika itu juga dia memerhatikan
sesusuk tubuh berlari-lari anak menuju ke hentian bas tersebut. Gadis tersebut
mengibas-ngibas titisan hujan yang mengenai baju kurungnya. Sesekali rambutnya
berbuai ditiup angin, turut meniup kewarasan Syahir jauh-jauh. Ayu! Itu saja
yang mampu dingkapkan hatinya. Padat, tepat.. tak perlu membazir air liur.
Tatkala itu sayup-sayup terdengar lagu Ayu yang dipopularkan oleh kumpulan VE suatu
ketika dulu bermain-main di fikirannya.
Ayunya wajahmu..
Ayunya
senyumanmu..
Semadikanlah
selamanya
Yang teristimewa
Selama-lamanya
Keayuanmu..
“Err Syahir.. aku
rasa macam dengar sesuatu la. Bunyinya macam lagu kumpulan VE”, tegur Azim menyebabkan Syahir tersentak daripada
lamunannya. Tak sangka pula lagu dalam fikirannya boleh blutooth ke otak Azim pula. Syahir masih memerhatikan gadis entah-siapa-nama-dia tu. Kalau lah baka
gadis tersebut dikacipkan dengan baka
dia, haruslah macam muka Emma Maembong gamaknya kan.
Syahir berdiri kaku, tersengih sendiri seperti orang bodoh.
Ditambah pula dengan prop yang dikenakan kepadanya, bodohnya
jadi berganda-ganda berkuasa dua. Masakan tidak dalam masa dia memerhatikan
gadis itu, sempat pula si Azim potong suratkhabar buatkan baju hujan dan
sarungkan kepadanya.
"Muat-muat je badan kau dengan suratkhabar Metro. Ni
kalau basah kompom seksi ni beb!", berdekah-dekah
Azim tertawa. Syahir mengetap bibir. Nak tak nak dia terpaksa sarung, mana ada
baju hujan lain. Dalam waktu yang sama si gadis tersebut menaikkan pandangan.
Mata mereka bertentang, si gadis menguntumkan senyuman. Darah Syahir naik
mencanak-canak ke kepala, rasa mau pitam. Hidung rasa mau berdarah. Bukannya
tak pernah menerima senyuman daripada perempuan lain, tetapi yang ni lain
sedikit feelnya.
"Kau buat apa lagi berdiri tu, tak nak balik ke?
Cepatlah Arianna Rose nak start ni!",
Azim mengomel. Syahir hanya mengangguk mengikutkan sahaja kehendak Azim, namun
matanya tak pernah terlepas dari memandang raut wajah gadis tersebut. Kalah
Arianna Rose mahupun Accapan. Kalaulah dia sedikit berani.. kalaulah kan?
Mereka mula bergerak, namun belum sampai 5 minit suratkhabar yang dipakainya
sudah koyak rabak. Boleh la diandaikan dirinya ketika itu seperti Abang Bonceng
Berkolaj! #$%^&!
**********
“Kau nak tengok ke
tak? Kalau taknak tengok.. aku nak ubah siaran ni”, soal Napi sebaik sahaja melihat Syahir sedari tadi
termenung jauh menatap kipas syiling yang ligat berpusing, sama ligat dengan
fikirannya ketika itu. Syahir hanya diam, tidak banyak bicara.
“Siapa awek tu?”
“Mana dia tinggal?
Tak pernah nampak pun sebelum ni”
“Ke.. awek orang?
Entah-entah mak orang”
Syahir menepuk-nepuk mukanya berkali-kali. Dia tekad, kalau
ada rezeki bertemu gadis tersebut sekali lagi.. dia ingin meluahkan hasrat
hatinya untuk mengenali gadis tersebut dengan lebih dekat. Kalau boleh, dia
punya tahap dekat tu sampai ke jinjang pelamin ececeh. Senyum simpul Syahir sendirian, tapi terkulat-kulat pula si
Napi yang dari tadi memerhatikan fiil rakan serumahnya yang seorang tu. Pada
pemerhatian Napi, mungkin Syahir sedang berangan-angan memenangi peraduan teka
kacang dalam balang yang mereka sertai di akhbar tempohari.
Keesokan harinya Syahir keluar rehat seperti biasa cuma
kali ini dengan menu luarbiasa. Nasi putih, kuah kicap dan ikan tamban goreng
setelah mencongak-congak belanja makannya sehari sebelum gajinya masuk berbaki
tinggal enam hari lagi. Tidak ramai anak muda sepertinya yang cekal menjamah
makanan di situ lebih-lebih lagi bila tiba hujung bulan. Kafe tersebut lengang,
hanya kelihatan kelibat cleaner dan makcik yang menjaga kaunter sahaja.
Tiba-tiba di suatu sudut, pandangan Syahir tertumpu pada sesusuk tubuh yang
pernah dilihatnya sebelum ini. Caranya berjalan dengan langkah kecil ala-ala
model, rambutnya yang meliang meliuk ke kiri dan ke kanan.. dia pasti itulah
gadis yang dilihatnya tempohari.
Syahir bergegas bangun mengekori gadis tersebut dari
belakang. Gadis itu berjalan sendirian dan itulah yang diingininya. Dia
mengekori dengan jarak yang selamat agar perbuatannya itu tidak disedari oleh
gadis tersebut. Dia ingin pastikan yang dia cukup bersedia sebelum menyapa dan
meluahkan hasratnya itu.
Gadis tersebut berhenti di kedai bunga, sesekali dia
merendahkan badannya untuk mencium kuntuman bunga yang dipamerkan di situ. Hati
Syahir berbunga-bunga kerana antara ciri-ciri wanita pilihannya adalah yang
suka cium bunga tepi jalan.. secara percuma. Macam pelik tapi itulah hakikatnya
lebih-lebih lagi bila gadis tersebut yang melakukannya. Bak kata emaknya,
kentut pun boleh buat minyak wangi.
Syahir kini betul-betul berada di sisi gadis tersebut,
menunggu peluang yang datang buat julung-julung kalinya. Gadis tersebut
menggapai bunga yang lebih tinggi menyebabkan Syahir melangkah dua tapak ke
belakang. Mengipas-ngipas hidungnya tatkala menangkap bau tengik umpama cekam
secara tiba-tiba. Dia memerhati sekeliling, tiada siapa yang berlalu. Tak
mungkin bau tersebut datang dari gadis pujaannya itu. Syahir sekali lagi
melangkah ke hadapan, membulatkan semangat yang ada.
“Hai awak”, Syahir menepuk lembut bahu gadis tersebut.
Si gadis menyisir rambutnya yang panjang dan berpaling ke
belakang memandang Syahir. Dengan serta merta Syahir menjerit dan mengurut
dada. Kenapa wajah gadis tersebut beraksesorikan misai, lompong jerawat dan lubang hidung
bersaiz bukaan sebesar ibu jari betul-betul seiras rakan serumahnya, Napi.
“Ye awak”, gadis tersebut tersengih mempamerkan bulu-bulu hidung
yang dipotong tak sekata. Syahir jatuh terduduk. Gadis tersebut menghulurkan
tangan untuk membantu tetapi Syahir terus-terusan menjerit minta dijauhi.
“Woi Syahir..
engkau ni dah kenapa?”
Syahir membuka mata, muka Napi betul-betul di hadapan
mukanya. Sekali lagi Syahir terkejut dan mengucap panjang. Rupanya dia
tertidur. Napi mengatakan yang dia mengigau. Syahir tersandar di sofa, kalau
lah benar jodohnya seperti muka si Napi.. dia rela tetapi dengan satu syarat.
Muka tersebut hendaklah di overhaul terlebih dahulu sebab lompong jerawat si
Napi tu dah boleh dibuat main congkak. Full stop!
Napi terus berteka teki, mimpi apakah si Syahir sehingga
mengigau-ngigau mengorek lubang pusatnya itu. Tetapi dia tetap berterima kasih
kerana lubang pusatnya kini kian bersih.
**********
"Bila boleh siap taukeh?", tanya Syahir. Dahinya berkerut menahan panas mentari.
"Lusa boleh? Lusa you datang ambil", ujar pemilik bengkel tersebut. Syahir hanya mengangguk.
Dia mendail nombor pada telefon bimbitnya. "Azim
kau datang ambil aku kat bengkel depan sekolah sekarang. Kang kita singgah
makan cendol"
Tanpa janji-janji semanis cendol, ada kemungkinan dua jam
lagi baru si Azim sampai. Sementara itu dia menapak menuju ke perhentian bas.
Sesekali dia memerhati dari luar pagar sekolah, kelihatan pelajar-pelajar
sedang berlatih untuk acara sukan.. anggapannya sahaja sebab dia biasa buat
begitu sewaktu sekolah dahulu. Dalam cuaca panas terik sebegitu, mereka masih
boleh lagi berlari-lari keliling padang. Boleh diibaratkan seperti sekumpulan
unta dalam acara sukan tahunan sekolah. Hebat!
Sedang dia berjalan, tiba-tiba sebuah bas melepasinya dan
berhenti di hentian 100 meter di hadapannya. Syahir juga kini bertukar menjadi
unta.. terpaksalah dia berlari untuk mendapatkan bas tersebut walaupun tekaknya
hampir kering ketika itu. Hampir sahaja dia merapati bas tersebut.. bas itu pun
mula bergerak. Dia termengah-mengah dan segera mendapatkan bangku menunggu.
Sewaktu itu dia terpandang raut wajah yang sama pada cermin tingkap. Gadis itu
memandang dengan senyuman.
"Gadis
semalam!", getus hati kecilnya.
Semakin lama bas bergerak semakin jauh, membawa 'hatinya' bersama-sama. Dia menyesal tidak menjadi unta yang lebih
cergas. Kalaulah dari kecil dia minum Milo sudah tentu dia dapat mengejar bas
seperti dalam iklan. Kasutnya juga memainkan peranan. Kalau lah dia ada kasut
Adidas sudah tentu harapannya untuk mengenali gadis itu bertambah cerah. Ini
tidak, bukan kasut Adidas yang dipakainya.. tetapi Adibas! Taiwan mari.
Terpaksalah tunggu satu-satunya harapan yang dia ada setakat ini.. Azim.
Di rumah..
"Warghhh mak tak nak mak.. Ayim janji takkan buat lagi
grr kroiihh", Azim menjerit-jerit
sendirian di bilik, cuma kali ini matanya terlelap. Entah berapa banyak mesej
dan panggilan masuk daripada Syahir, dia sendiri tidak sedar. Yang dia nampak
ketika itu hanyalah kelibat emaknya dalam mimpi, sedang berlari-lari
mengejarnya dengan memikul balak. Pikul balak? Ala nama pun mimpi.. mana ada
logik pun.
Mimpinya akan bertukar logik juga nanti, tapi tunggulah
hingga Syahir pulang. Waktu itu ada harapan Syahir kejarnya dengan tong gas!
**********
"You tunggu sikijap boleh?", ujar taukeh kedai motor. Syahir yang sedari tadi
berdiri, kini berasa penat. Ingin saja dia mencangkung tapi dengan baju kemeja
bertali leher.. kaedah mencangkung tidak sesuai dilakukan ketika itu. Lagipun
seluarnya ketat, boleh putus nafasnya kalau dia berbuat demikian. Nak telefon
Azim rasa serba salah pula, takut pisang berbuah-buah lagi. Lagipun mana dia
ingat nombor Azim dan kawan-kawan rumahnya yang lain.. telefon bimbitnya
tertinggal. Syahir mengeluh. Taukeh kedai janji yang motornya siap dalam
setengah jam lagi. Sementara itu dia bergerak ke perhentian bas.
Dari jauh dia perasan, dalam banyak-banyak orang yang
menunggu di situ ada seorang gadis yang menarik perhatiannya sejak kelmarin
lagi. Dia menyorok di balik pokok, memperbetulkan tali lehernya, rambutnya dan
kedudukan cawatnya. Bila semuanya kemas dan selesa, dia kembali bergerak
menghampiri hetian bas tersebut. Dari seorang ke seorang pelajar hilang
daripada pandangan, dia rasa kali ini peluang untuknya ada. Dia melintasi gadis
tersebut tetapi gadis tersebut tidak perasan. Gadis tersebut kelihatan kusyuk
membaca novel Sayang Cikgu
Ketat-Ketat. Syahir mencari tempat duduk. Kini tinggal mereka berdua di
situ.
"Err panas ye hari ini", Syahir tersipu-sipu malu, sengaja dia memandang ke sisi
lain kerana tidak mahu melihat reaksi gadis tersebut.
"Haah paneh la jugok. Ko nak air? Nak sirap ke.. air
tin?"
Syahir tersentak. Kasarnya suara. Sementelah dia berpaling,
dia melihat seorang lelaki kusut masai berada di sebelahnya. Lelaki itu
menghulurkan sisa air sirap yang dikutip di dalam tong sampah berhampiran,
tersengih memandangnya menampakkan baris gigi yang jarang. Jarang-jarang dia
dapat senyuman maut macam tu. Kalau selalu dapat dia bimbang akan mengidap
demam kura! Senyuman Syahir jadi tawar.
"Hai wak",
tiba-tiba suara gadis mengetuk gegendang telinganya. Senyuman Syahir mekar
kembali.
"Ye saya.. Awak panggil saya?", Syahir
memperbetulkan duduknya, kakinya rapat manakala tangannya pantas menyisir
rambut. Dia menganjak badannya sedikit ke hadapan, mengalihkan pandangan ke
arah gadis tersebut. Gadis tersebut tergelak kecil sementara di telinganya
terlekap telefon bimbit.
Syahir sekali lagi berpaling, melemparkan pandangannya
jauh-jauh. Mukanya merah menahan malu, bagaimana dia boleh terfikir yang gadis
tersebut akan menyapanya. Dia bingkas bangun dan merapati tiang di sisi jalan,
memerhatikan kereta yang tak putus-putus bergerak. Sesekali dia menghela nafas
panjang dan tersenyum sendirian. Bodohnya dia kerana mengharap pada sesuatu
yang tak pasti. Gadis tersebut cukup ayu dan cantik, masakan ada niat untuk
menegurnya yang entah siapa-siapa ini. Gadis tersebut naik bas, dia pula naik
motor. Masakan bas dan motor boleh bergerak seiring. Punyalah jauh hati Syahir
berpujangga sehingga kalau dikumpul, boleh dah dibuat buku.
"Assalamualaikum awak.."
Syahir menangkap suara yang sama, menyapa pada siapa.. dia
sendiri tidak tahu. Nak ditoleh, takut merah padam lagi mukanya. Tapi takkan
gadis tersebut bagi salam kepada orang gila tadi. Tak boleh diterima akal juga.
"Awak yang hari tu naik motor dengan baju suratkhabar
kan?", tegur suara kecil itu. Jantung
Syahir berdegup pantas. Ye.. ye dialah orangnya. Dia pasti yang gadis itu
menyapanya. Syahir memalingkan mukanya perlahan-lahan lagak model iklan
layaknya. Iklan ubat gigi kerana sengihnya tatkala itu kalau diukur dengan
pembaris boleh capai sehasta!
"Ye tidak syak lagi sayalah orangnya", ujar Syahir yakin, seyakin bangunan Wisma Yakin di Jalan
Tunku Abdul Rahman.
Gadis tersebut menekup mulutnya, terdengar gelak tawa kecil
disebaliknya. Syahir mengetap bibir, dia tahu yang gadis itu mentertawakan
perilakunya tempohari. Bila difikirkan keadaannya waktu itu, ada rasa macam nak
tikam perut Azim dengan sudu. Dah macam sarkis!
"Awak jangan ambil hati ye. Kelakar sangat, jarang dah
kat KL ni orang redah hujan pakai suratkhabar", ujar gadis tersebut sambil tertawa. Syahir menggaru-garu
kepalanya yang tidak gatal. Syahir kembali ke kerusi menunggu. Mereka berborak
panjang. Gadis itu memperkenalkan dirinya sebagai Syuhada. Sedap namanya. Waima
letaklah nama Karim sekalipun, tetap sedap dan ayu kalau tuan empunya badannya
adalah gadis tersebut.
Dia merupakan cikgu di sekolah yang mana murid-muridnya Syahir
panggil unta. Dalam tempoh sesingkat itu, Syahir rasakan ianya begitu berharga.
Lebih berharga dari Kimbab kegemarannya.. apatahlagi burger Abang Burn. Semua
ditepisnya mentah-mentah. Kalau boleh mahu sahaja dia berada di situ sampai
petang, berbual panjang dan mengenali Syuhada dengan lebih dekat. Eh kalau
Syuhada setuju nak naikkan khemah pun apa salahnya. Tetapi apakan daya bas yang
ditunggu Syuhada sudah tiba.. betul-betul berhenti di hadapannya. Syahir pun
pasti yang pakcik pemandu bas tersebut juga cukup kenal dengan guru tingkatan
satu itu.
"Err cikgu, bila agaknya kita boleh berborak panjang
lagi?", ujar Syahir sewaktu melihat
Syuhada mula berdiri dan memperbetulkan baju kurung lemak ketamnya itu.
Tiba-tiba sahaja dia rasa cukup berani untuk bertanyakan soalan. Kalau boleh
dia ingin bertanyakan 49 soalan lagi, biar cukup 50 soalan seperti soalan peperiksaan.
Biar cikgu tersebut mengambil masa untuk memikirkan jawapan dan akhirnya
ditinggalkan pakcik pemandu bas yang lama menunggu. Memang nampak kejam tapi
dia merasakan ini sahajalah peluang yang dia ada. Dia tak nampak ada peluang
kedua untuknya. Syuhada memandang dan tersenyum.
"Sabtu ni hari sukan sekolah kami, awak datanglah time
tu. Saya kat khemah rumah merah",
ujar Syuhada, sedikit sebanyak memberi harapan kepada Syahir. Rumah merah..
sama seperti warna rumahnya masa sekolah menengah dulu. Walaupun secara
lahiriahnya seakan-akan warna kuning, tapi baginya tetap warna merah. Semuanya
bertukar sebab cikgu Syuhada.
"Err.. err",
suara Syahir terputus-putus. Nak diluah mati emak, nak ditelan mati bapak.
Kalau dicakap, takut hilang peluang yang ada. Dia melihat Syuhada seolah-olah
menunggu ayat yang ingin dia ucapkan.. tetapi Syahir tahu masanya semakin
suntuk. Syuhada akan menaiki bas tersebut bila-bila masa sahaja. Cikgu tersebut
mula mengatur langkah untuk menaiki tangga bas.
"Cikgu.. boleh saya dapatkan nombor telefon cikgu.
Err.. err bukan apa kot-kot saya nak tanya pasal soalan sejarah adik saya ke
nanti. Lagi pun saya ada kemusyikilan berkenaan orang zaman Paleolotik.", entah apa punya alasan dia berikan. Itu sahaja yang
terlintas di kotak fikirannya yang berserabut. Daripada alasan yang
diberikannya sudah dia jangkakan Syuhada akan tertawa dan pergi. Soalan tak
serius macam ni ada hati nak mengorat cikgu yang sel-sel otaknya saling
berhubung?
Syuhada berkata sesuatu kepada
pakcik pemandu bas lantas dia turun menghampiri Syahir. Bau minyak wangi milik
cikgu tersebut serta merta menusuk-nusuk rongga hidungnya. "Awak ada fon?” tiba-tiba darah Syahir berderau sekali lagi. Telefon
bimbitnya di rumah. Pen? Kapur papan hitam? Kaler Buncho? Marker pen? Mana ada
semuanya. Habis diseluk poketnya depan belakang berkali-kali walaupun dia
sendiri tahu dia tidak memilikinya walau satu pun. Dia rasa bersalah membuatkan
cikgu tersebut menunggu apatahlagi pakcik pemandu bas tersebut yang mula
membuat muka makan kaki.
Dalam dia sibuk meraba-raba sekeliling, tiba-tiba tangan
kirinya merasai sesuatu di celah-celah bangku menunggu. Dikaisnya dan lantas
diberikan kepada Syuhada. “Maaf fon saya
tertinggal, lupa yang saya cas fon saya di rumah sebelum keluar tadi”, ujar
Syahir tersipu-sipu malu. Syuhada hanya tersenyum lantas menulis sesuatu dan
kertas bertukar tangan.
"Ingat ye tanya soalan sejarah saja tau", cikgu tersebut berseloroh. Syahir tersenyum puas. Kini
dia ditinggalkan sendirian, bersamanya sekeping kertas bernombor telefon dan
sebatang pensel kontot yang pernah dimilikinya dulu. Macam itulah ceritanya.
Tamat.
**********
"Ni cerita pasal papa ngan mama ke?", ujar anak kecil dalam lingkungan 4 tahun itu. Lelaki yang
berada di sisi anak kecil tersebut tersenyum. Dia memandang pada almari kaca
tidaik jauh di hadapannya. Di sana terdapat pelbagai jenis hadiah yang diterima
isterinya beberapa tahun kebelakangan ini.
Semuanya istimewa, cuma terdapat satu lebih dia hargai
iaitu pensil kontot yang diletakkannya di para paling atas bersebelahan gambar
isterinya. Mungkin suatu masa dahulu dia beranggapan pensil tersebut tidak
mampu meneruskan perkhidmatannya di atas kertas kerja, tetapi siapa sangka yang
pensil itu kembali memberi khidmatnya di atas cebisan kertas yang menyatukan
mereka berdua menjadi sebuah keluarga dan dikurniakan anak kecil yang berada di
sisinya.
“Abang buat apa lagi
tu? Kan saya minta abang tolong pergi kedai beli kicap. Saya nak masak ni!”, jerit isterinya dari dapur menyebabkan lelaki tersebut
bergegas mencapai kunci motornya. Itu baru dengar suara, belum lagi nampak orangnya.
Dulu kurus.. kini berisi
Dulu ayu.. sekarang so
so je la
Dulu freehair..
sekarang bertudung
Biasalah. Adatlah hidup berumahtangga. Cuma satu sahaja
yang tak akan berubah. Kasih sayang lelaki itu terhadap isterinya langsung tak
pernah pudar.. sedari pandangan pertamanya melihat gadis tersebut di hentian
bas sehinggalah ke hari ini.
Andaikata kicap yang ingin dibelinya menjadi pengerat kasih
antara mereka.. sudah pastinya dia akan memborong 18 kotak lagi untuk dibawa
balik.
Fin.
Alhamdulillah cerpen pertama yang siap aku edit dan sedia untuk dihantar ke Lovenovel Publication. Semoga aku langkah kanan. Amin :)
7 Comments
Best! Best!
ReplyDeleteSemoga berjaya ye :)
http://nurulzayani.blogspot.com/
rajin ye tok menulis skrg... Jasmin tak kacau ke? hehehe
ReplyDeletesalam. great! menarik cerita..pengunaan ayat pun bole tahan terbaik..
ReplyDeleteall the best ya!
all the best atok hehee :)
ReplyDeletepanjgnyer ^_^
ok, dah baca ^^ kreatif dan penghubung cerita itu ada . tajuk yg ringkas tp menceritakan keseluruhan cerita. best
ReplyDeletekreatif sangat.... terbaikkkkkkk
ReplyDeleteJemput Join segmen ekin di blog
http://cikash.blogspot.com/2015/01/segmen-selamat-hari-lahir-by-cik-ash.html
Excellent website! I adore how it is easy on my eyes it is. I am questioning how I might be notified whenever a new post has been made. Looking for more new updates. Have a great day! Searching the un-official subreddit for Pikdo- Share your posts, ask questions and get feedback on your account. Come join our great page.
ReplyDelete